Trofi EPL akan kekal di Old Trafford
|
ROONEY meledakkan dua gol untuk membantu Red Devils mengalahkan Spurs 5-2 di Old Trafford kelmarin.
|
LONDON - Manchester United tidak akan melepaskan trofi Liga Perdana England (EPL) begitu sahaja.
Ia akan tetap kekal di Old Trafford.
Demikian tegas penyerang United, Wayne Rooney selepas mereka bangkit mengalahkan Tottenham Hotspur 5-2 kelmarin.
Walaupun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, juara bertahan
itu mempamer kebangkitan luar biasa dengan meledakkan lima gol pada
babak kedua, sekali gus merampas semula takhta liga daripada Liverpool
yang menang 3-1 ke atas Hull City sebelum itu.
Dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar mereka itu, serta memiliki kelebihan baki satu perlawanan, Rooney mengakui
Red Devils akan sekali lagi menjulang gelaran itu musim ini.
"Kami tahu kami dalam keadaan terbaik ketika ini. Kami perlu
menggunakan kelebihan baki perlawanan ini. Ada lima lagi baki
perlawanan dan terpulang kepada kami untuk melakukannya," kata Rooney.
"Kemenangan ke atas Spurs hari ini (kelmarin) sangat penting bagi
kami kerana ia memberi keyakinan dan kepercayaan baru menjelang aksi
seterusnya.
"Ia juga satu kebangkitan yang menakjubkan. Pada babak pertama
permainan kami agak hambar dan kami terpaksa mengubah tempo permainan.
Kami tahu sebaik saja kami memperoleh gol pertama, kami ada peluang
untuk menang dan itulah yang melegakan."
Spurs mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Darren Bent dan Luka Modric.
Namun United bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan
Cristiano Ronaldo dan Rooney sebelum Dimitar Berbatov menambah gol
kelima ke atas bekas kelabnya itu.
Ronaldo pula berkata United sudah semestinya mampu memenangi
pertemuan ini walaupun tanpa dihadiahkan sepakan penalti yang
dipertikaikan pemain Spurs.
"Pengurus memberitahu pada masa rehat bahawa kalau kami menjaringkan
satu gol, maka kami akan dapat tiga atau empat gol lagi dan itulah apa
yang terjadi," kata bintang Portugal itu. - AFP